Mungkin di luar sana, mengandaikan kami golongan tidak subur. Ada yg
mendefinisikan sebagai tidak mempunyai anak dalam tempoh setahun selepas
perkahwinan adalah tidak subur. Terkadang, sememangnya menyebabkan kita
rasa stress.
Tidak subur?
Atau
Belum tiba masanya?
Sedangkan Allah Maha Mengetahui untuk kita.
Pada yg tidak dikategorikan dalam definisi 'tidak subur' tu, bersyukur
lah dan jangan pula sewenang-wenangnya mengandaikan kami - para TTC -
tidak subur. Jangan pula ada riak takbur bila diri itu subur.
Utk diri
sendiri juga, aku mengingatkan apa sahaja rezeki yg kita dapat bukan
milik kita, tp milik Allah. Sekelip mata boleh diambil balik.
********************************************************************************
Allah bukan tidak menjawab, tetapi Dia Maha Tahu bila hendak menjawab
Lama bertahan kadangkala membuatkan kita kecewa. Lebih menyakitkan hati,
apabila kita cuba meluahkan penderitaan kita, orang lain hanya tahu
menyatakan sabar sahaja. Sedangkan yang kita perlu adalah ‘tindakan’,
bukan sekadar bicara-perkataan.
Tetapi apabila kita balik kepada hakikat ujian tadi, dan tujuannya,
bukankah hati sudah sedikit tenang? Nyata di dalam ujian itu juga yang
ada hanyalah kebaikan-kebaikan sahaja.
“Yalah, aku faham semua itu, tetapi aku manusia.”
Ya, saya faham. Saya juga manusia. Sebab itulah saya bermula dengan
kebersihan iman, dan mengajak kita memahami hakikat ujian. Sebab saya
sendiri pernah gugur dan jatuh. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali.
Tersungkur, saat-saat merasakan diri ini ditinggalkan. Pernah hendak
cuba menjerit ke langit dan memarahi Allah, pernah juga terfikir untuk
merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Saya pernah bersedih
hingga ke tahap itu. Dan saya yakin, esok lusa akan ada lagi ujian-ujian
yang lebih hebat dari yang pernah saya lalui, yang akan membuatkan saya
terlutut semula.
Tetapi, ada kelainan apabila kita memahami apakah itu ujian? Mengapakah
diturunkan ujian? Apakah tujuan ujian? Ada perbezaannya apabila kita
memahaminya. Apatah lagi apabila kita punya keyakinan terhadap Tuan
Punya Ujian.
Akhirnya, lama-kelamaan, saya melihat bahawa putus asa itu sebenarnya
berlawanan dengan kewarasan akal. Akhirnya saya berjaya melihat bahawa,
menjerit ke langit itu berlawanan dengan kewarasan akal. Begitu juga
merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Sebab sebenarnya, kita
ada satu lagi pilihan. Itulah dia terus bertahan.
Allah bukan tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan,
segala permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang
lebih baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha
Mendengar, bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang
Maha Tahu Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang
sesuai untuk menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia
Maha Tahu kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha
Tahu, apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.
Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal
belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku
kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa
kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta
digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya)
pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat
(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah
Al-Baqarah ayat 214.
Bagaimana agaknya, orang-orang yang teruji, sampai rasa tidak punya lagi
harapan, dan pada saat itu sampailah pertolongan yang selama ini
diharapkan? Bukankah kekuatannya akan lebih tertingkat? Bukankah dia
akan menjadi yang lebih bersyukur? Bukankah keimanannya akan melonjak?
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam
banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu
merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang
ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa
kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian
kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat
tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan
Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa
orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan
yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah
At-Taubah ayat 25-26.
Saat-saat sebahagian manusia telah berputus asa dan berundur, dan
sebahagian lain pula kekal bertahan dalam keadaan kekalahan, bukankah
apabila Allah turunkan pertolongan pada saat itu akan berlakunya
peningkatan terhadap yang kekal percaya? Bukankah telah tertapis
daripada golongan pejuang itu mereka yang benar-benar ikhlas
memperjuangkan agama Allah?
Sebab itu, Allah Maha Tahu bilakah hendak menjawab doa-doa hambaNya.
Dia tahu waktu dan ketikanya.
Yang tinggal adalah kita. Apakah mahu kekal bertahan dan percaya? Atau mengalah, menjadi yang rugi selama-lamanya?
sangat suke posting nih.. amat² memotivasikan diri kte.. kredit to :-